19 DIS : Rakyat dinasihat agar berjaga-jaga dan berdisiplin dalam kawalan kendiri berikutan lonjakan kes Covid-19.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menasihati golongan rentan, warga emas dan yang mempunyai komorbiditi agar mengamalkan pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan awam, sesak dan tertutup.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata Al-Sultan Abdullah menitahkan rakyat agar menjaga penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan serta menggunakan cecair pembasmi kuman.
“Selain kawalan kendiri itu, individu bergejala disaran mengelakkan 3S iaitu berada di kawasan sesak, sempit dan bersembang (jarak dekat) sebagai langkah pencegahan dan bagi mengurangkan risiko jangkitan virus ini.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran jika rakyat lalai atau mengambil sikap sambil lewa, kes Covid-19 akan terus meningkat, tambahan pula ketika ini musim percutian sekolah, yang menyaksikan banyak pergerakan dan perhimpunan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis, memantau rapi kes jangkitan Covid-19 di seluruh negara dan mengeluarkan cadangan serta arahan berkaitan bergantung kepada situasi semasa.
“Rakyat juga disaran supaya sentiasa peka dengan perkembangan terkini berkenaan kes Covid-19 di negara ini dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh KKM dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.
Kes Covid-19 dilaporkan pada 10 hingga 16 Disember lalu mencecah 20,696 kes iaitu peningkatan 62.2 peratus berbanding 12,757 kes pada minggu sebelumnya.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan tidak bercadang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun berlaku peningkatan kes Covid-19 ketika ini.
Menurutnya keadaan semasa kes Covid-19 di Malaysia masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada susulan pengukuhan Pelan Pengurusan Covid-19 KKM.