19 DIS : Pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam tidak diwajibkan ketika ini.
Namun Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata pemakaian pelitup muka itu digalakkan semasa berada dalam mana-mana pengangkutan awam berikutan lonjakan kes baharu Covid-19.
“Sebarang dasar atau peraturan berkenaan pemakaian pelitup muka ini hanya boleh ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. Kementerian Pengangkutan tidak akan menetapkan dasar kita sendiri (berkaitan hal ini).
“Setakat ini, tidak ada kewajipan (memakai pelitup muka semasa berada dalam pengangkutan awam), kita hanya menggalakkan. Jadi, itu terpulang kepada penumpang atau orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikain kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kerjasama dan Pertukaran Serantau Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu China (ChongQing)-Malaysia, hari ini.
Kes Covid-19 dilaporkan pada 10 hingga 16 Disember lalu mencecah 20,696 kes iaitu peningkatan 62.2 peratus berbanding 12,757 kes pada minggu sebelumnya.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan tidak bercadang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun berlaku peningkatan kes Covid-19 ketika ini.
Menurutnya keadaan semasa kes Covid-19 di Malaysia masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada susulan pengukuhan Pelan Pengurusan Covid-19 KKM.