19 DIS : Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.
Namun Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata masih banyak usaha perlu dilaksanakan untuk mencapai matlamat itu termasuk pembabitan berterusan daripada semua pihak.
“Kita masih pada peringkat awal dan banyak perlu dilakukan untuk mencapai sifar bersih pada 2050.
“Ketika ini, kita sedang melaksanakan Strategi Pembangunan Karbon Rendah Jangka Panjang (LT-LEDS) bagi mendapat data diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelan Tindakan Kelestarian Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) 2023-2030 di Subang Jaya, hari ini.
Mengulas soal langkah Prasarana melalui pelan itu, Nik Nazmi berkata perkara itu penting kerana pengangkutan ketika ini adalah penyumbang utama kepada pelepasan karbon dioksida.
Menurutnya, ia harus dicontohi peserta sektor pengangkutan yang lain bagi membolehkan negara mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan.
Nik Nazmi berkata langkah ke arah kelestarian dalam sektor pengangkutan akan terus berkembang terutama dalam penggunaan kenderaan elektrik.
“Langkah ini apabila berkembang, ia akan memberi kesan positif dan mewujudkan ekosistem yang komprehensif.
“Sebenarnya pengangkutan berasaskan elektrik, dari segi penyelenggaraan akan lebih rendah dan apabila banyak penggunaan akan mewujudkan tenaga kerja yang lebih ramai.
“Kita akan tengok perkara ini dan adakan sesi dialog dengan operator pengangkutan lain bagi mengikuti langkah Prasarana ini,” katanya.