19 DIS : Penduduk bumiputera di Malaysia pada tahun ini dianggarkan seramai 21.3 juta orang daripada 33.4 juta penduduk.
Menurut Statistik Bumiputera 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini jumlah penduduk bumiputera lelaki adalah 10.8 juta orang manakala perempuan sebanyak 10.5 juta orang dengan nisbah jantina 102 lelaki berbanding 100 perempuan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bumiputera menyumbang 92.7 peratus menerusi penyertaan dalam profesional dan 83.8 peratus daripada jumlah penolong pegawai perubatan dan jururawat pada 2022.
Katanya, bumiputera turut menyumbang 60.8 peratus sebagai juruukur tanah, 61.5 peratus juruukur bahan, 52.8 peratus doktor gigi dan 52.7 peratus pereka dalaman.
Namun katanya kelompok itu mencatatkan penyertaan di bawah 50 peratus bagi arkitek (41.2 peratus), peguam (38.2 peratus) dan akauntan (31.8 peratus).
Mohd Uzir berkata penemuan berkaitan tenaga buruh pada 2022 menunjukkan seramai 9.6 juta tenaga buruh adalah bumiputera yang terdiri daripada 5.8 juta lelaki dan 3.9 juta wanita.
Sementara itu katanya, bagi kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB), bumiputera meningkat kepada 67.1 peratus berbanding 65.8 peratus pada 2021.
Manakala dari segi jantina, KPTB bagi lelaki dan perempuan bumiputera masing-masing adalah 80 peratus dan 54.1 peratus.
“Berdasarkan pencapaian pendidikan, sumbangan tenaga buruh bumiputera yang berpendidikan peringkat menengah dan ke bawah adalah 62.3 peratus manakala tenaga buruh bumiputera berpendidikan ‘tertiari’ atau pendidikan tinggi 37.7 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata kadar pengangguran dalam kalangan bumiputera adalah empat peratus berbanding lima peratus pada 2021.
Dari segi statistik siswazah pula, bilangan siswazah bumiputera yang direkodkan sehingga 2022 adalah seramai 3.8 juta orang terdiri daripada 1.7 juta lelaki dan 2.2 juta wanita.
Bagi pindah milik harta tanah pada 2022, bumiputera merekodkan sebanyak 121,997 transaksi harta kediaman dengan sumbangan sebanyak 36.8 peratus atau RM34.7 bilion kepada jumlah nilai pindah milik harta kediaman RM94.3 bilion.
“Bumiputera melakukan sebanyak 3,774 pindah milik harta tanah jenis komersil dengan nilai pindah milik bernilai RM2.1 bilion berbanding RM1.5 bilion pada tahun 2021,” katanya.
Dari segi perspektif kebajikan, beliau berkata bilangan bumiputera yang berdaftar di Institusi Kebajikan Am bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2022 adalah seramai 2,714 orang, berbanding 2,948 orang tahun sebelumnya.
Daripada jumlah tersebut, 1,096 orang di Institusi Kanak-Kanak, 637 orang di Institusi Orang Kurang Upaya dan 981 orang di Institusi Warga Emas dan Orang Papa, katanya.
Statistik bumiputera diterbitkan itu memaparkan statistik bumiputera terpilih dalam bidang sosial dan ekonomi di peringkat nasional dan negeri untuk tahun rujukan 2015 hingga 2023.
Ia merangkumi statistik dalam bidang sosial dan ekonomi antaranya penduduk, guna tenaga, pendapatan dan perbelanjaan isi rumah, kesihatan, pelancongan, profesion berdaftar dan harta tanah.