19 DIS : Semua kementerian perlu mengurangkan birokrasi dan menumpu kepada usaha menarik pelaburan dari luar negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata prosesnya perlu dipermudahkan dan dipendekkan tempoh kelulusan pelaburan.
Dalam pada itu menyentuh soal Jepun, beliau berkata dari segi pelaburan dan perdagangan, hubungan antara Jepun-Malaysia sangat erat berikutan sejarah yang begitu lama.
“Namun demikian ada beberapa cabaran yang perlu tangani supaya lebih banyak pelaburan masuk ke negara kita terutamanya dari Jepun.
“Kita sedang berdepan dengan persaingan dengan negara-negara jiran dan peringkat global.
“Jadi oleh itu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bersama dengan kementerian-kementerian lain perlu memastikan birokrasi ini dikurangkan dan mempercepatkan kelulusan kepada pelabur-pelabur kita,” katanya lapor Agenda Awani di Tokyo pada Isnin.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul memberitahu, Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan RM225 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Menurutnya, pencapaian itu adalah tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
Sementara itu katanya, jumlah perdagangan pula mencecah lebih RM2 trilion dalam tempoh yang sama.