19 DIS : Semua Universiti Awam (UA) di negara ini digalak untuk menawarkan kursus jangka pendek bagi menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kursus jangka pendek mempunyai permintaan yang tinggi malah universiti terkemuka dunia seperti Harvard University juga menawarkannya.
Katanya, tawaran kursus jangka pendek boleh dijalankan bersama antara UA dengan kementerian lain mengikut bidang tujahan (niche) masing-masing.
“Kini, kerjasama silang bidang, silang kepakaran dan silang kementerian perlu dilakukan supaya mampu menghasilkan kerjasama yang efisien.
“Selain itu, kursus jangka pendek ini juga boleh ditawarkan kepada penuntut antarabangsa dan usaha ini pastinya mampu menjadi tarikan penuntut luar untuk menyambung pengajian di Malaysia seterusnya menjadikan negara ini hab pendidikan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perjumpaan bersama pengurusan tertinggi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bersempena sesi lawatannya ke Mercu MQA, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md Amir; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.
Pada pertemuan itu, Zambry berkesempatan mendengar taklimat daripada pengurusan tertinggi MQA berkenaan peranan, inisiatif dan cabaran agensi itu dalam memastikan kualiti pendidikan tinggi negara terus berada pada landasan yang tepat.
Sementara itu, Mohammad Shatar berkata UA juga digalakkan menjadi Pusat Penilaian Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).
Katanya, inisiatif itu bagi memberi peluang kepada masyarakat yang tidak mempunyai kelayakan konvensional untuk menyambung pengajian yang diidamkan dalam bidang masing-masing.
“Hingga kini, terdapat tiga jenis APEL diperkenalkan MQA iaitu APEL A untuk akses kemasukan ke institusi pengajian tinggi, APEL C bagi pemindahan kredit dan APEL Q untuk penganugerahan terus berdasarkan pengalaman pemohon,” katanya.