20 DIS : Sekitar 20 badan bukan kerajaan (NGO) menyatakan sokongan terhadap keputusan Kerajaan Malaysia menyekat kapal dari Israel berlabuh di negara ini.
Sokongan itu dizahirkan melalui memorandum yang diserahkan kepada wakil Kementerian Pengangkutan, hari ini.
Ini termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat (Sejagat), Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Muslim Care dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Wakil NGO tersebut, Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata pihaknya menyifatkan tindakan tersebut sebagai selaras dengan pendirian Malaysia menyokong perjuangan Palestin.
“Saya dan NGO Malaysia bangga, kita dapat gerak dan angkat isu Palestin dengan restu kerajaan, rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama namun pendiriannya adalah isu ini isu kemanusiaan,” katanya, lapor Bernama.
Awal hari ini, Anwar membuat kenyataan tegas melarang kapal syarikat berpangkalan di Israel dan yang menggunakan bendera Israel daripada berlabuh di negara ini.
Menurut Anwar, Malaysia turut mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.
Tegas Anwar, sekatan itu susulan tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.
Sementara itu, Presiden Sejagat, Syed Sheikh Alattas Syed Hassan berkata ketegasan ditunjukkan Kerajaan Malaysia membuktikan negara serius dalam membela rakyat Palestin.
“Insya-Allah, kita sokong dan rakyat Malaysia akan sokong keputusan ini,” katanya.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong tindakan kerajaan itu sebagai reaksi terhadap pembantaian Israel terhadap Palestin.
“Ini kerana tindakan melampau dan tiada perikemanusiaan Israel terhadap penduduk Palestin perlu dikeji dan apa-apa tindakan protes yang boleh dilakukan harus diambil,” katanya.
*Foto : Facebook