20 DIS : Israel menyerang sebuah hospital terakhir yang masih bertahan di Semenanjung Gaza utara.
Hospital Al-Ahli tidak lagi dapat berfungsi sejak Selasa.
Pengarah hospital, Fadel Naim berkata tentera zionis itu menyerang hospital dan menahan ramai doktor, kakitangan perubatan juga pesakit selain memusnahkan sebahagian daripada kawasan bangunan itu.
Menurutnya, hospital itu tidak lagi dapat beroperasi selain tidak lagi dapat menerima mana-mana pesakit atau mangsa yang cedera.
Katanya, dalam serangan rejim zionis itu sekurang-kurangnya empat orang cedera ditembak pada Isnin namun meninggal dunia sehari kemudian akibat kecederaan yang dialami.
Hospital Al-Ahli yang juga dikenali sebagai Hospital Baptist atau Ahli Arab, mengalami kerosakan teruk akibat letupan di tempat letak keretanya pada 17 Oktober lalu mengakibatkan sekurang-kurangnya puluhan mangsa maut.
Kumpulan pejuang Hamas dan Jihad Islam menuduh serangan itu dilakukan Israel namun rejim itu menafikannya.
Sebaliknya, rejim Tel Aviv itu menyalahkan roket yang dikatakan salah ditembak oleh Jihad Islam.
Beberapa hari lalu, Israel memusnahkan Hospital Kamal Adwan selepas menjalankan operasi beberapa hari di hospital tersebut yang meragut sekurang-kurangnya lapan nyawa termasuk kanak-kanak.
Israel mendakwa bangunan hospital itu dijadikan sebagai kawalan dan arahan pejuang Hamas.
Hospital dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa namun ia berulang kali diserang Israel di Semenanjung Gaza sejak bermulanya perang antara Israel dan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Tentera Israel sebelum ini menyerbu kemudahan perubatan lain di Gaza termasuk Al-Shifa, hospital terbesar di wilayah itu yang kini beroperasi pada kapasiti minimum dengan pasukan yang sangat kecil.
Ahad lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata Hospital Al-Ahli menerima pesakit kritikal daripada Al-Shifa untuk pembedahan.
*Foto X/TRTWorldNow