20 DIS : Syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM tidak dibenarkan berlabuh di Pelabuhan Klang pada Selasa depan seperti dijadualkan selaras arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata arahan itu berkuat kuasa serta merta dan Lembaga Pelaburan Klang sudah diarahkan bertindak.
“Lembaga Pelabuhan Klang sudah diarahkan untuk membantu syarikat logistik, pengimport, pengeksport dan perkapalan dalam menguruskan kargo masing-masing yang terjejas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Awal hari ini, Anwar membuat kenyataan tegas melarang kapal syarikat berpangkalan di Israel dan yang menggunakan bendera Israel daripada berlabuh di negara ini.
Menurut Anwar, Malaysia turut mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.
Tegas Anwar, sekatan itu susulan tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.