21 DIS : Pendaftaran Identiti Digital Nasional atau MyDigital ID bagi 1.6 juta penjawat awam sedang giat dilaksanakan dan berjalan dengan baik.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata fokus kerajaan ketika ini adalah menjayakan pendaftaran untuk kakitangan kerajaan sebelum pendaftaran dibuka kepada umum pada Mac tahun depan.
“Harapan saya, kita akan dapat pertingkatkan pendaftaran bagi sistem MyDigital ID yang merupakan single sign on (SSO) sistem ataupun sistem yang kita cuma buat pendaftaran sekali sahaja,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sesi pendaftaran MyDigital ID warga Kementerian Komunikasi, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi individu pertama mendaftarkan diri dan memiliki identiti digital itu.
Pada 21 November lepas, Anwar mengumumkan peruntukan RM80 juta kepada MIMOS Berhad untuk menyegerakan pelaksanaan MyDigital ID itu.
MyDigital ID merupakan pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital semasa melakukan transaksi secara dalam talian.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata penjawat awam perlu memainkan peranan dalam membantu memberi kefahaman kepada orang ramai tentang MyDigital ID itu.
“Saya lihat ada keperluan untuk penjawat awam terlibat dengan giat dalam usaha pendaftaran ini, asasnya proses pendigitalan perkhidmatan kerajaan.
“Penting kita tunjukkan bahawa sektor awam kerajaan sedia untuk proses pendigitalan serta mengadaptasi guna teknologi baharu supaya kita beri perkhidmatan lebih baik dan mudah kepada rakyat,” katanya.