21 DIS : Syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM perlu mengeluarkan 4,000 kontena kargo transit yang masih terkandas terutama di Pelabuhan Klang dalam masa terdekat.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata ia susulan keputusan Kerajaan Malaysia semalam untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat itu daripada memasuki mana-mana pelabuhan dalam negara berkuat kuasa serta-merta.
“Kesemua kontena tersebut dikendalikan oleh ZIM. Jadi apabila kita ambil tindakan ini… maka syarikat perkapalan ini perlu hubungi syarikat perkapalan lain supaya angkut keluar kontena-kontena ini dalam masa terdekat untuk ke destinasi seterusnya,” katanya lapor Bernama.
Loke berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan antara MRT Corp dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata ZIM akan diberi sedikit masa untuk menguruskan kesemua kontena yang terkandas itu memandangkan ia melibatkan pelbagai destinasi.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel memasuki negara ini berkuat kuasa serta-merta selain melarang mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.
Anwar berkata kerajaan yakin semua keputusan itu tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia.