21 DIS : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita Bangunan Menara Ilham pada Isnin.
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
“Ya (disita),” katanya lapor Sinar Harian, hari ini.
Difahamkan, sitaan dibuat untuk siasatan di bawah Akta SPRM 2009.
Menara Ilham sering dikaitkan dengan seorang tokoh korporat dan bekas menteri.
Memetik laporan portal Buletin TV3, notis penyitaan Harta Tak Alih bertarikh 18 Disember 2023 itu disiarkan dalam ruangan notis pemberitahuan sebuah portal berita dalam talian pada Khamis.
Menurut notis itu, Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan diarah untuk menyita harta tak alih bagi bangunan Menara Ilham di atas geran 75830, bernombor Lot 20002, yang mempunyai alamat di No. 8, Jalan Binjai, Kuala Lumpur.
Arahan itu dikeluarkan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib di bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 [Akta 694] dan Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] setelah berpuas hati berdasarkan maklumat yang diberikan pegawai SPRM.