22 DIS : Tindakan Malaysia menyekat syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM tidak akan menjejaskan hubungan Putrajaya dengan negara luar.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata ketegasan Malaysia itu bukan bermakna kita tidak menghargai hubungan dengan negara lain.
“Kita tidak melihat kepada terjejasnya hubungan Malaysia dengan negara lain,” katanya kepada pemberita pada majlis serah dan terima tugas di Wisma Putra, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kedudukan hubungan Malaysia dengan negara lain terutamanya sekutu Israel.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan kerajaan yang melarang ZIM dan kapal-kapal berkaitan Israel termasuk yang membawa bendera Israel daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan di negara ini berkuat kuasa serta-merta.
Selain itu, Putrajaya juga melarang mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.