22 DIS : Sebanyak 85 peratus pengguna domestik di Semenanjung tidak terkesan dengan penyasaran semula subsidi elektrik yang diumumkan hari ini.
Sementara dijangka 1.2 juta isi rumah dengan bil elektrik RM220 sebulan akan mengalami kenaikan bil antara 4.2 hingga 6 peratus bermula 1 Januari ini.
Ini bermakna, isi rumah yang terkesan akan membayar tambahan RM12 hingga RM32 setiap bulan.
Langkah penyasaran semula subsidi elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024 ini di bawah pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT).
Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam satu kenyataan berkata penyasaran itu menyaksikan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik antara 601 hingga 1,500 kilowatt sejam (kWj) tidak lagi menikmati rebat dua sen/kWj.
Bagi 7 juta pengguna dengan penggunaan kurang daripada 600 kWj, tiada perubahan berlaku dengan menyaksikan isi rumah berkenaan masih menikmati rebat dua sen/kWj.
Surcaj penggunaan elektrik pengguna domestik yang melebihi 1,500kWj pula kekal 10 sen/kWj.
Bagi kategori pengguna bukan domestik pula, surcaj kekal 3.70 sen/kWj bagi tarif komersial dan perindustrian voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (H, H1 dan H2) selain operator air dan pembetungan.
Sementara itu, pengguna bukan domestik lain surcaj kekal pada kadar 17 sen/kWj.
“Berdasarkan keputusan ini, sejumlah 85 peratus atau 7 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024.
“Sehubungan itu, sejumlah 99 peratus atau 8.2 juta pengguna domestik masih menerima subsidi daripada kerajaan.
“Manakala, bagi semua pengguna bukan domestik, surcaj yang dikenakan adalah kekal sama.
Menurut Suruhanjaya Tenaga, kerajaan memperuntukkan RM1.9 bilion subsidi kepada kategori-kategori pengguna yang terlibat bagi meminimumkan impak surcaj ICPT sepanjang tempoh pelaksanaan ini.
“Pengguna boleh merujuk kepada bil elektrik bulanan masing-masing bagi memantau penggunaan elektrik dan subsidi yang diberikan,” katanya.
Selain itu, pengguna juga boleh menganggarkan kos bil elektrik bulanan pada masa akan datang dengan menggunakan kalkulator tarif elektrik yang dapat dicapai melalui laman sesawang https://myelectricitybill.my/.