22 DIS : Subsidi bersasar yang bakal dilaksanakan kerajaan tidak lama lagi adalah demi kebaikan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia termasuk pelasaran subsidi tarif elektrik.
“Semua…kalau pengumuman tentang penyasaran subsidi itu baik untuk rakyat,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas soal pelasaran subsidi tarif elektrik yang dijangka diumumkan petang ini.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Damansara bersama kira-kira 1,500 jemaah.
Ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu, Anwar mengumumkan kerajaan melaksanakan subsidi bersasar dengan melepaskan sebahagian subsidi bagi 10 peratus penggunaan elektrik tertinggi.
Namun, kerajaan mengekalkan subsidi yang sama bagi 90 peratus pengguna melalui pendekatan bersasar yang dapat menjimatkan lebih RM4.6 bilion daripada unjuran subsidi elektrik sebanyak RM20 bilion setahun.
Tahun ini, kerajaan menganggarkan keseluruhan subsidi yang dikeluarkan untuk rakyat di seluruh negara termasuk elektrik, minyak dan makanan mencecah RM81 billion.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim