23 DIS : Amanah yakin Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kembali diberi mandat mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Malah Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu juga yakin Kerajaan Perpaduan akan merampas empat negeri yang kini ditadbir Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, perkara itu tidak mustahil dengan kekuatan parti-parti yang bergabung dalam kerajaan perpaduan hari ini.
“Kerjasama erat kita dalam kerajaan perpaduan akan dapat rampas kembali empat negeri PN.
“Syaratnya, perpaduan kita saling bantu-membantu, bukan saling cah keting. Ini harapan kita…perpaduan akan lahir kekuatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Konvensyen Nasional Amanah di Klang, hari ini.
Konvensyen tahunan itu akan menjalankan pemilihan parti bagi memilih barisan 27 pimpinan kanan yang bakal menerajui Amanah sehingga 2026.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sempat menangkis dakwaan parti pimpinannya itu semakin lemah susulan prestasi yang merosot pada setiap pilihan raya.
Pada PRU14, Amanah menang 11 kerusi Parlimen yang kemudiannya berkurang kepada lapan kerusi pada PRU15.
Kata Mohamad, umum tidak menyedari kekuatan Amanah dari segi strategi dan pendekatan politiknya yang menganjurkan politik koalisi.
Katanya, dalam menempuh pilihan raya, parti politik itu perlu bersama rakan politik yang mempunyai matlamat sama.
“Ia bukan sekadar perkahwinan ikut keperluan sahaja…kerana tidak akan kekal bahkan amat rapuh,” katanya.