23 NOV : Pengukuhan kedudukan ekonomi negara menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan, tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu pada Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian, hari ini.
“Keutamaan kita untuk tahun 2024 tentunya ekonomi, ekonomi dan ekonomi,” katanya. e
Katanya, selain perubahan dan anjakan yang besar dari segi peralihan tenaga, ia turut melibatkan pendidikan negara terutama penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris.
“Kalau kita biarkan keadaan itu berterusan, penguasaan bahasa Melayu mungkin dapat kita pertahankan walaupun tidak dipertingkatkan lebih tinggi, (tetapi) penguasaan bahasa Inggeris pula kian terhakis.
“Jadi ini harus kita betulkan melalui sistem pendidikan dan harus kita lakukan dengan tegas,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata kerajaan akan memberikan tumpuan kepada pelaburan domestik dan antarabangsa.
“Kita mahu fokus kepada kekuatan ekonomi sama ada pelaburan domestik, pelaburan luar.
“Jadi ini ada kaitan dengan tatakelola, kecepatan, pengurusan dan mengurangkan karenah birokrasi,” katanya.
Selain itu, kerajaan juga mahu menumpukan kepada latihan dan penguasaan dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Ekonomi ada kaitan dengan isu yang saya sebutkan ini, latihan, penguasaan bahasa, fungsi AI.
“Apabila sebut latihan, program pendidikan (ini melibatkan) institut pengajian tinggi dan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional),” katanya.
*Foto Pejabat Perdana Menteri