23 DIS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan permohonan maaf atas sebarang salah faham yang timbul berikutan penggunaan istilah ‘keling’ pada program Temu Anwar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.
Jelasnya, penggunaan frasa itu dipetik daripada buku bertajuk ‘Hikayat Hang Tuah’ yang bukan bertujuan untuk menghina mana-mana pihak.
“Kalau ada yang salah faham, saya minta maaf, bukan niat saya.
“Saya orang terakhir yang melontarkan ekspresi menghina kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian di Putrajaya, hari ini.
Pada sesi Dialog Mahasiswa itu, Anwar menyentuh kisah Hang Tuah pada zaman Kesultanan Melayu Melaka termasuk kefasihannya dalam pelbagai bahasa.
Kata Anwar, pahlawan Melayu itu bukan sahaja boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik tetapi juga dalam Bahasa Jawa, Bahasa Siam dan juga ‘Bahasa keling’ atau Tamil.
Rakaman video itu dikongsi di media sosial dengan sebahagian netizen mengkritik Anwar kerana menggunakan istilah yang dianggap menghina kaum India.
“Saya kata orang kalau baca, Hang Tuah itu dia kuasai bahasa Melayu, bahasa Arab, Siam, bahasa keling. Itu guna istilah daripada bahasa kalinga dalam buku itu.
“Sekarang ini istilah keling itu tak disenangi banyak pihak, jadi saya tak gunakan. Saya cuma quote (petik) konteks dalam buku itu,” katanya.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah dikritik selepas menggunakan perkataan keling ketika mengkritik Suruhanjaya Pilihan Raya pada 2018.
*Foto Pejabat Perdana Menteri