23 DIS : Kerajaan menjamin bekalan bahan mentah di pasaran tempatan terutama ayam tidak terjejas berikutan penalti terhadap lima syarikat pembekal makanan haiwan, semalam.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bekalan ayam, telur serta bahan mentah lain mencukupi sepanjang musim perayaan hingga Aidilfitri tahun depan.
“Insya-ALLAH ada, cukup dan sentiasa ada. KPKM dan KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) sentiasa bekerjasama untuk menghadapi musim perayaan…yang terdekat Krismas, Tahun Baru Cina, kemudian Ramadan dan Aidilfitri.
“Kita mahu pastikan supaya telur, ayam (ada). Harga dan manipulasi ditentukan oleh KPDN. Saya tidak boleh komen, bukan bawah kuasa kementerian saya,” katanya.
Beliau yang juga Presiden Amanah berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2023 pada Sabtu.
Semalam, dilaporkan lima syarikat pembekal makanan haiwan didapati bersalah menetap dan menyeragamkan secara bersama harga produk mereka di pasaran tempatan.
Sehubungan itu, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan penalti berjumlah RM415.5 juta kepada kelima-lima syarikat berkenaan kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
Hasil siasatan MyCC sejak Januari 2020 hingga Mac 2022 mendapati terdapat potensi gangguan pasaran makanan ayam dengan pelbagai bukti dalam bentuk pengumuman harga, corak harga dan komunikasi dalam kalangan perusahaan.
Pada sidang media sama, Mohamad berkata tanggungjawab memeriksa serta menentukan harga bahan mentah di pasaran terletak dalam bidang kuasa KPDN dan pihaknya tidak terlibat dengan perkara itu.
Namun beliau menegaskan, KPKM sentiasa memberi kerjasama kepasa semua kementerian yang berkaitan dalam menyalurkan maklumat.
“Harga dan manipulasi ditentukan oleh KPDN. Kita beri kerjasama, tidak bergerak secara solo.
“Semua kementerian bekerjasama dalam menangani keterjaminan makanan,” katanya.