23 DIS : Malaysia mengalu-alukan tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang resolusi untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza tanpa gesaan gencatan senjata, semalam.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata UNSC dalam resolusi itu menyeru langkah segera bagi membenarkan bantuan kemanusiaan segera dilakukan secara selamat tanpa halangan.
“Perkara berkenaan perlu diperluaskan serta-merta serta mewujudkan syarat bagi menghentikan permusuhan yang mampan.
“Resolusi berkenaan juga menyeru semua pihak untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan menyatakan kekesalan terhadap serangan ke atas orang awam dan struktur awam termasuk semua tindakan keganasan dan permusuhan terhadap orang awam,” kata Wisma Putra.
Menurut kementerian itu, resolusi tersebut juga menuntut pembebasan segera kepada semua tebusan tanpa syarat dan memastikan akses kemanusiaan diberi bagi menangani keperluan perubatan kepada semua tebusan.
“Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga diminta untuk melaporkan pelaksanaan resolusi berkenaan dalam laporan tetap kepada UNSC.
“Malaysia menggesa semua pihak untuk mematuhi dan melaksanakan keputusan resolusi Majlis Keselamatan dan semua resolusi berkaitannya mengenai Wilayah Palestin mengikut prinsip Piagam PBB.
“Malaysia juga mengulangi tuntutan bagi gencatan senjata segera dilakukan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dapat dilakukan segera dengan selamat dan tanpa halangan,” kata kenyataan itu lagi.
Kata Wisma Putra, tindakan kejam dan keji terhadap rakyat Palestin tidak wajar dan perlu dihentikan serta-merta.
“Jenayah tanpa henti yang dilakukan oleh Israel tidak boleh diteruskan tanpa sebarang hukuman kepada mereka.
“Malaysia terus berpegang teguh dengan pendirian bahawa rakyat Palestin berhak mendirikan negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan-sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqadis Timur sebagai ibu kota,” katanya.