23 DIS : Pemimpin UMNO perlu kerap turun padang bertemu akar umbi dan rakyat bagi menjelaskan beberapa isu yang membelenggu parti itu terutama mengenai hubungan dengan DAP.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu perlu dilakukan jika UMNO mahu memulihkan parti di mana sokongan kepada parti itu dilihat semakin merosot.
“Dia bukan benci UMNO tetapi dalam kalangan penyokong UMNO, dia kata UMNO ini sudah keluar landasan kerana kerjasama dengan DAP.
“Sentimen menentang DAP memang kukuh dan kuat dalam kalangan yang saya kira orang-orang Melayu.
“UMNO ini masalah dia kerana baik dengan DAP dan isu ini dia kena jelaskan kerana DAP itu mewakili majoriti etnik Cina,” katanya pada Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang diajukan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.
Ahmad bertanya sama ada PH masih memerlukan UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 memandangkan sokongan terhadap parti itu dilihat semakin merosot.
Dalam pada itu, Anwar berkata hubungan antara parti dalam PH dengan UMNO adalah amat baik pada masa ini.
“Dengan umur saya sekarang ni, saya tidak senang dengan apa-apa kegiatan pengkhianatan. Saya yakin dengan kepimpinannya, UMNO memberikan sokongan yang kuat dan hubungan kerja juga sangat baik.
“Kalau UMNO turun ke bawah seperti mana mereka lakukan sekarang, saya yakin dia dapat dipulihkan dan sekarang ada petanda-petanda begitu,” katanya yang juga Pengerusi PH.