25 DIS : Orang ramai dinasihat meningkatkan langkah keselamatan dan waspada terhadap situasi semasa ekoran lonjakan kes Covid-19 di negara ini.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Azizan Abdul Aziz berkata rakyat mesti sentiasa memeriksa keadaan kesihatan dan membuat ujian saringan kendiri jika bergejala.
“Satu langkah yang sangat penting yang memerlukan penekanan ialah ujian saringan kendiri apabila bergejala seperti selesema.
“Kebanyakan kes terkini Covid-19 yang dilaporkan adalah bergejala ringan dan terdapat kemungkinan besar ramai yang tidak melakukan ujian saringan kendiri apabila mengalami simptom seperti selesema.
“Apa yang dibimbangi tanpa ujian kendiri, kuarantin yang wajib dijalani juga berkemungkinan tidak dipatuhi,” kata Azizan lapor The Malaysian Insight.
Malaysia kini mengalami lonjakan kes Covid-19 dan menurut Kementerian Kesihatan (KKM) trend itu dijangka berterusan sepanjang tempoh Krismas dan cuti umum.
Semakan di portal KKMNOW KKM menunjukkan terdapat 28,375 kes aktif Covid-19 di negara ini hingga kini dengan 97.6% daripadanya menjalani kuarantin di rumah.