25 DIS : Undang-undang yang dicadang untuk menamatkan perniagaan Ali Baba boleh diguna terhadap mereka yang didapati menyalahgunakan lesen perniagaan.
Ini termasuk menjualnya kepada warga asing di pusat-pusat bandar.
Demikian reaksi Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli kepada seorang pengikutnya di X yang menyuarakan kebimbangan mengenai kelemahan undang-undang.
Kebimbangan itu susulan kelemahan yang ada menyebabkan warga asing mengambil kesempatan daripada subsidi kerajaan yang sepatutnya diperuntukkan kepada rakyat negara ini.
“Akta Anti-Ali Baba akan membolehkan tindakan diambil kepada rakyat Malaysia yang ‘meng-Ali Baba-kan’ lesen dan lain-lain kepada syarikat asing tanpa menepati syarat-syarat,” katanya melalui platform X.
Jelasnya, pergantungan kepada pekerja asing sejak berpuluhan tahun lalu hinggam enyebabkan mereka ‘menguasai’ sektor-sektor tertentu ekoran rakyat tempatan tidak berminat.
“Isu ini isu negara, bukan isu pendatang asing. Ia bermula dengan pergantungan kita pada pekerja asing. Tanya majikan, majikan kata orang kita tak nak buat dah kerja dalam industri tertentu.
“Yang berlaku sekarang adalah kesan dari berpuluh tahun lepas.
“Bila pekerja asing dah ramai, orang kita pula pergi sewakan dan bagi lesen dengan cara Ali Baba untuk mereka buat perniagaan,” katanya.
Pada 21 Disember lalu, pihak berkuasa menahan 1,101 warga asing di Jalan Silang, Kuala Lumpur atas pelbagai kesalahan Imigresen menerusi operasi bersepadu membabitkan beberapa agensi penguatkuasaan.