25 DIS : Polis masih belum menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk menganjurkan piket ‘Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin’ yang akan diadakan di sekitar Kedutaan Amerika Syarikat (AS)di Kuala Lumpur bermula esok hingga Ahad depan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah mengesahkan perkara itu.
Sementara penganjur piket, Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan piket yang membabitkan 48 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu akan diadakan secara aman.
Ia sebagai tindak balas rakyat Malaysia yang cintakan keamanan terhadap krisis meruncing yang menuntut tindakan segera di wilayah Gaza.
Menurut SSP, piket itu bertujuan menuntut supaya pembunuhan terhadap rakyat Palestin dihentikan.
Selain itu, pihaknya turut menuntut gencatan senjata dilaksanakan segera, kekal dan tanpa syarat.
Pada masa sama menuntut pertempuran dihentikan untuk menangani keperluan segera orang awam di Gaza serta pengiktirafan hak rakyat Palestin untuk negara berdaulat.
Menurut SSP, piket itu yang akan disertai aktivis mewakili organisasi masyarakat sivil, pertubuhan pemuda dan pelajar serta kelompok politik dari pelbagai spektrum, yang dijadual berkumpul di sekitar kedutaan itu selama enam hari.
“Aksi ini akan diadakan secara aman. Kami akan membuka khemah dan tinggal di khemah sepanjang piket, selain mengadakan acara-acara solidariti setiap malam dan memasang bendera serta simbol perjuangan rakyat Palestin,” menurut sekretariat itu.
Pada masa sama, SSP menyasarkan 30 hingga 50 peserta pada hari pertama penganjuran dan menjangkakan jumlah itu bertambah pada hari-hari berikutnya.