25 DIS : Polis mengesahkan kejadian membabitkan warga asing berjalan beramai-ramai di Pengerang yang tular dalam satu klip video di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, mesemua warga Bangladesh yang terlibat itu sudah ditahan, Rabu lalu.
Katanya, sepasukan polis dihantar bagi membuat pemeriksaan lanjut ke atas warga asing tersebut sebaik laporan diterima daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Ya benar, video yang tular itu merupakan kejadian minggu lalu.
“Kejadian berlaku pada pagi Rabu lalu apabila ratusan warga asing Bangladesh dikesan berjalan kaki di kawasan hadapan simpang masuk, Teluk Ramunia Bayu Damai di Pengerang,” katanya lapor Sinar Harian.
Menurut Hussin, hasil pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) seramai 171 lelaki warga Bangladesh berumur antara 19 hingga 43 tahun ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Warga asing tersebut hendak ke Balai Polis Bayu Damai untuk membuat laporan polis kerana ejen pekerjaan tidak memberikan mereka pekerjaan.
“Mereka bukan pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana mereka masuk melalui jalan yang sah melalui ejen-ejen pekerjaan. Dianggarkan sudah tiga hingga enam bulan mereka tidak dapat sebarang pekerjaan,” katanya.
Menurutnya, kesemua warga asing berkenaan dihantar ke Jabatan Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru.
Sebelum ini, video tular berdurasi satu minit 33 saat memaparkan seorang pengguna yang sedang memandu kereta terkejut dengan kehadiran ratusan warga asing sedang berjalan kaki dalam barisan yang panjang didakwa berlaku di Pengerang.
Video berkenaan mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang bimbang dengan kehadiran warga asing terlalu ramai itu.