25 DIS : Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan sistem kesihatan di Gaza kini sudah musnah.
Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus memaklumkan perkara itu melalui ciapan di paltform X.
Namun beliau sempat memuji petugas perubatan yang terus cekal mencurahkan khidmat walaupun berdepan keadaan semakin teruk.
“Kemusnahan sistem kesihatan di Gaza adalah satu tragedi. Kami meneruskan gesaan untuk gencatan senjata sekarang.
“Meskipun menghadapi ancaman keselamatan yang berterusan dan bertali arus pesakit cedera dibawa untuk rawatan, kami melihat doktor, jururawat, pemandu ambulans serta lain-lain lagi tetap berusaha tanpa henti untuk menyelamatkan nyawa,” katanya, lapor AFP.
WHO sudah berkali-kali menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan penjagaan kesihatan di Gaza.
Meskipun hospital dilindungi bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, fasiliti kesihatan di Gaza berulang kali menjadi mangsa serangan rejim Zionis.
Setakat 20 Disember lalu, WHO merekodkan 246 serangan ke atas penjagaan kesihatan di Gaza, termasuk hospital serta ambulans, mengakibatkan 582 kematian dan 748 mangsa cedera.