26 DIS : Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang ditutup susulan laluan ke bandar itu terputus akibat banjir yang semakin memburuk, hari ini.
Memetik laporan BH, kebanyakan kakitangan yang bertugas di ICQS tidak dapat melepasi laluan di Kalbok 5, di Pasir Mas-Rantau Panjang.
Jurucakap Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan mengesahkan kejadian itu susulan banjir Rantau Panjang.
“Kita mengambil maklum arahan daripada pihak polis yang memaklumkan laluan ke Rantau Panjang di Kalbok 5 ditutup oleh semua kenderaan.
“Justeru, operasi di ICQS di Rantau Panjang ditangguh untuk sementara waktu sehingga laluan dibuka semula,” katanya.
Terdahulu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas memaklumkan laluan Pasir Mas-Rantau Panjang ditutup untuk semua kenderaan mulai malam tadi.
“Atas faktor keselamatan, semua pengguna dinasihatkan tidak melalui kawasan Kalbok 5 bermula malam ini (malam tadi) sehingga diberitahu kelak kerana keadaan jalan tidak selamat untuk semua jenis kenderaan,” katanya.