26 DIS : Banjir di Kelantan dan Terengganu bertambah buruk pagi ini dengan jumlah mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) mencecah 21,380 orang.
Di Kelantan paling teruk apabila bencana itu menjejaskan 12,572 orang setakat pagi ini.
Tujuh daerah yang terkesan ialah Pasir Mas, Gua Musang, Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah, Machang dan Kota Bharu.
Sebanyak 3,860 keluarga terjejas ditempatkan di 82 PPS.
Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 7,210 orang diikuti Kuala Krai (2,516), Tanah Merah (1,783), Machang (462), Gua Musang (271), Jeli (255) dan Kota Bharu 25.
Tiga sungai melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai, Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Terengganu juga terus meningkat di tujuh daerah dengan 8,808 mangsa dipindahkan ke PPS.
Setakat jam 8 pagi tadi, mangsa daripada 2,402 keluarga terjejas dipindahkan ke 128 PPS yang dibuka di Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, Besut, Marang, Setiu dan Kuala Nerus.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu berkata Hulu Terengganu merupakan daerah paling teruk terjejas dengan seramai 3,005 mangsa daripada 874 keluarga sudah dipindahkan ke 34 PPS yang diaktifkan.
Diikuti Dungun 1,725 mangsa banjir terjejas, Besut (1,609), Kemaman (964), Marang (48), dan Kuala Nerus (25).
Kata sekretariat itu, cuaca hujan masih melanda beberapa tempat di daerah di negeri itu.