26 DIS : UMNO-Barisan Nasional (BN) Johor tidak perlu tergesa-gesa menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata keadaan di Johor jauh berbeza dengan kerajaan yang dibentuk di Putrajaya dan Perak.
Katanya, keduanya dibentuk kerana tiada parti yang mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan.
Sementara kerjasama di Selangor dan Pulau Pinang pula dibentuk sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu.
ADUN Rengit itu berkata PRN Johor pada Mac tahun lalu menyaksikan BN menewaskan PH dengan majoriti dua pertiga sekali gus tidak timbul isu penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Susulan itu, Puad berpandangan penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor tidak perlu berasaskan kepentingan politik.
Terdahulu pemimpin Amanah Johor, Zuhan Zain menggesa suatu isyarat dihantar supaya Kerajaan Perpaduan dibentuk di Johor dengan penyertaan PH di sebalik dominasi BN di DUN dengan 40 kerusi.
“Apa pun terserah kepada kepimpinan tertinggi untuk beri pertimbangan kepada desakan oleh perwakilan Amanah Johor itu,” kata Puad lapor FMT.A
“Apa pun kerjasama dan persefahaman antara BN dan PH semakin baik di Johor terutama dalam beberapa isu berkepentingan rakyat,” katanya.
Ketika ini, BN menguasai 40 kerusi di DUN Johor manakala PH (13), Perikatan Nasional (3) dan MUDA satu kerusi.