27 DIS : Jumlah mangsa banjir dipindahkan di enam negeri yang terjejas banjir terus meningkat kepada 28,310 orang setakat jam 6 pagi tadi.
Johor dan Sabah menjadi negeri terbaru dilanda banjir, lapor Bernama.
Laporan terkini yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyebut Kelantan kekal dengan jumlah mangsa tertinggi sebanyak 17,466 orang yang dipindahkan ke 89 pusat pemindahan sementara (PPS).
Peningkatan daripada 15,145 orang yang ditempatkan di 92 PPS pada jam 4 petang semalam.
Di Terengganu pula, jumlah mangsa sedikit menurun kepada 10,103 orang yang berlindung di 113 PPS berbanding 10,199 orang di 125 PPS petang semalam, begitu juga di Pahang yang merekodkan seramai 485 mangsa di sembilan PPS berbanding 590 mangsa di 13 PPS.
Selangor kekal dengan empat mangsa yang ditempatkan di PPS Kuala Langat manakala dua negeri terbaru dilanda banjir, Sabah dan Johor masing-masing merekodkan seramai 169 mangsa di tiga PPS dan 83 mangsa di sebuah PPS.
Laporan itu turut memaklumkan daripada sembilan PPS yang masih dibuka di Pahang, satu daripadanya iaitu di Cameron Highlands yang membabitkan kejadian tanah runtuh, kekal menempatkan 87 mangsa daripada 17 keluarga.
Hujan berterusan juga dijangka berlaku sepanjang hari ini di Terengganu di daerah Dungun dan Kemaman; Pahang (Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin); dan Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi).