27 DlS : Polis menasihati peserta piket solidariti untuk Palestin supaya tidak mendirikan khemah berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak sepanjang himpunan itu berlangsung bermula malam tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, piket “Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin” itu tertakluk kepada Akta Perhimpunan Aman 2012 dan menjadi tanggungjawab polis untuk memastikan keselamatan.
“Seandainya terdapat peserta yang mendirikan khemah, kita lihat nanti apa tindakan yang bakal diambil,” katanya kepada pemberita pada Selasa.
Beliau turut mengesahkan peserta himpunan itu tidak diarah bersurai jika mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihak polis bersimpati dan menyokong perjuangan rakyat Palestin namun mereka bertanggungjawab untuk memastikan ketenteraman awam dan keselamatan perwakilan-perwakilan asing di negara ini.
“Kalau kita lihat ada kedutaan AS, Suruhanjaya Tinggi Singapura, Kedutaan Jepun dan juga beberapa perwakilan asing berhampiran kawasan ini dan ia menjadi tanggungjawab polis,” katanya.
Allaudeen berkata, pihaknya telah menggerakkan sejumlah anggota dan pegawai bagi mengawal keadaan di lokasi himpunan itu dan setakat ini bilangan itu mencukupi.
Piket itu ialah inisiatif warga Malaysia yang peduli dengan krisis di Gaza yang telah mengorbankan 20,424 rakyat Palestin setakat 24 Dis lepas, selain sebagai tanda kecintaan kepada keamanan.
Solidariti selama enam hari di hadapan Kedutaan AS itu adalah sebagai simbolik pengepungan terhadap Gaza dan ia juga bagi menuntut supaya pembunuhan terhadap rakyat Palestin dihentikan serta mendesak supaya gencatan senjata dilaksanakan segera.
Himpunan itu membabitkan 48 badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada organisasi masyarakat, pertubuhan pemuda dan pelajar serta kelompok politik daripada pelbagai spektrum.
Antara NGO yang mengambil bahagian ialah Majlis Perundingan Islam Malaysia, Viva Palestina Malaysia, Yayasan Al Quds Malaysia, Suara Rakyat Malaysia dan Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine