28 DIS : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengenal pasti kerosakan rumah-rumah mangsa banjir untuk tindakan selanjutnya.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata KPKT ada prosedur tertentu yang perlu dipenuhi sebelum sebarang bantuan disampaikan.
“Program baik pulih rumah mangsa ini masih lagi berterusan dan belum diumumkan supaya dihentikan.
“Apa yang kita lihat, Kerajaan MADANI sangat memberikan tumpuan dalam perkara seperti ini (bantuan), walaupun Kelantan tidak bersama dalam kerajaan pusat tetapi tetap diberikan tumpuan,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu beliau melawat dan mendengar taklimat mengenai bencana banjir daripada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Zainal Madasin yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah JBPM (Operasi), Datuk Nor Hisham Mohamad.
Sementara itu, Aiman Athirah berkata sebanyak 495 anggota Pasukan Gerak Cepat (Red Team) JBPM sudah bersedia untuk digerakkan bagi membantu mangsa sepanjang musim Monsun Timur Laut di Semenanjung.
“Pasukan ini sentiasa bersedia untuk membantu mangsa banjir dengan segera kerana mereka mempunyai kelengkapan logistik termasuk lori dan bot di samping turut dibantu pegawai dan anggota bomba serta anggota penyelamat yang lain,” katanya.