28 DIS : Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang yang ditutup sejak kelmarin akibat banjir kembali beroperasi semula, hari ini.
Bahagian Perancangan Strategik dan Khidmat Korporat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan.
Pembukaan semula itu berikutan banjir yang semakin pulih.
“Bermula hari ini, ICQS Rantau Panjang beroperasi semula,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, ICQS Rantau Panjang terpaksa ditutup sejak petang kelmarin susulan banjir semakin teruk.
Selain itu, laluan di Kalbok 5, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang dinaiki air dan ditutup untuk semua kenderaan.
Bagaimanapun, sehingga jam 8 pagi ini, laluan berkenaan sudah boleh dilalui oleh semua kenderaan memandangkan banjir semakin surut.