28 DIS : Kesemua kementerian diarahkan turun memberi bantuan kepada mangsa banjir tanpa mengira fahaman politik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM323.63 juta kepada Jawatankuasa Bencana Negara untuk kegunaan di 160 daerah.
“Saya telah pastikan persiapan awal dan meminta semua agensi untuk dilengkapi sebaiknya serta memberikan bantuan kepada mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas.
“Kerajaan Persekutuan juga telah memperuntukkan dana bagi pengurusan bencana kepada semua negeri, tanpa mengira fahaman politik mereka,” katanya lapor The Star.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat bersedia untuk mengaktifkan 8,481 pusat bantuan di seluruh negara dengan kapasiti yang mampu menampung sehingga 2,158,743 mangsa.
“Ia juga telah menerima peruntukan sebanyak RM35.85 juta untuk pengurusan bencana.
“Keseluruhannya, seramai 61,839 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi kerajaan setiap peringkat berada dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya.
Katanya lagi, bekalan penting disediakan di semua pusat pemindahan sementara (PPS) dan sebarang maklumat diselaraskan dari peringkat daerah ke Persekutuan supaya menerima maklum balas yang cepat.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan bekerjasama dengan kerajaan negeri serta pentadbiran daerah dengan mengetepikan fahaman politik kerana ia merupakan satu usaha kolektif lebih-lebih lagi apabila nyawa sedang dipertaruhkan.
“Kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan. Kerajaan Perpaduan tidak akan mengetepikan negeri yang ditadbir oleh pembangkang dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan semasa bencana.
“Walaupun kerajaan negeri tidak sejajar dengan Putrajaya, kami masih akan memberikan bantuan, tanpa mengira parti politik. Ini termasuk Kelantan dan Terengganu,” tegasnya.