29 DIS : Pengalaman dan kompetensi ahli jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam diyakini tidak akan melanggar hak bukan Islam.
Ahli Parlimen DAP, Syahredzan Johan berkata mereka yang berada dalam jawatankuasa itu individu-individu yang berpengalaman dan kompeten dalam bidang Perlembagaan.
“Mereka akan membuat kajian secara objektif, melangkaui pertimbangan kaum dan agama mereka sendiri,” kata wakil rakyat Bangi itu, lapor FMT.
Terdahulu, Ahli Parlimen Beruas dari DAP, Datuk Ngeh Koo Ham mencadangkan pakar daripada masyarakat bukan Islam dilantik untuk membantu jawatankuasa itu.
Cadangan Koo Ham itu diselar Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyifatkan cadangan pemimpin DAP itu tidak berpijak di bumi yang nyata.
Malah katanya, cadangan Koo Ham itu hanya akan mencetuskan polemik tidak perlu dalam suasana harmoni rakyat pelbagai agama dan kaum di negara ini.
Mengulas lanjut, Syahredzan yang senada dengan Asyraf berkata isu utama adalah konflik bidang kuasa antara Persekutuan dan negeri berkenaan dengan undang-undang syariah yang hanya terpakai kepada mereka yang beragama Islam.
“Daripada perspektif ini, pertimbangan jawatankuasa khas ini akan terhad kepada isu-isu berkaitan undang-undang syariah dan tidak termasuk menyemak isu undang-undang berkait dengan hak dan kepentingan bukan Islam,” katanya.
Tambahnya, apa-apa syor atau dapatan jawatankuasa khas ini tidak mengikat jemaah menteri dan sesi libat urus lanjut akan dibuat sebelum apa-apa cadangan diterima dan dilaksanakan.
“Oleh itu, semua pihak wajar memberi ruang kepada jawatankuasa khas ini untuk meneruskan apa yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka sebagai permulaan untuk merungkai isu ini yang harus diselesaikan dengan tuntas,” katanya.