30 DIS : Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas penyaluran wang ihsan RM177.96 juta kepada negeri itu.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan wang ihsan yang diterima negeri Kelantan adalah RM217.96 juta pada 2023.
Menteri Besarnya, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dalam satu kenyataan hari ini turut menyambut baik pengumuman Anwar berkait kelulusan peruntukan segera bagi membina benteng sementara bagi Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang bernilai RM6 juta.
Beliau turut menyokong pengumuman proses perolehan bagi lima projek baharu tebatan banjir di Kelantan bernilai RM910.52 juta yang akan dimulakan pada tahun 2024.
“Kerajaan negeri pula akan mengambil segala langkah yang perlu untuk menyegerakan urusan pengambilan balik tanah untuk projek-projek ini.
“Kerajaan negeri yakin pengumuman tersebut akan memberi manfaat demi kesejahteraan rakyat negeri Kelantan.
“Ia juga sekali gus memperkukuhkan semangat federalisme di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan selari dengan budaya politik matang dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan itu.