30 DIS : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan tidak pernah mendengar soal Langkah Dubai yang mula diperkatakan, hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menegaskan ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) tiada masa melayan drama politik itu.
“Saya tidak tahu. Apa yang pasti ialah GPS berulang kali mengulangi keutamaan kami ialah mempunyai kerajaan stabil dan kukuh.
“Kami mahu fokus semua usaha atas pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya lapor Borneo Post.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop mendakwa wujud cubaan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digelar Langkah Dubai.
Dakwanya, Langkah Dubai muncul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk dari pihak kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.
Pertemuan itu didakwa bertujuan membahagikan tugas kepada ejen untuk mengenal pasti ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan kepada pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.
Timbul juga dakwaan PBB ditawarkan jawatan perdana menteri dan autonomi tambahan termasuk sehingga 20% royalti minyak buat Sarawak.
Seorang lagi Ahli Parlimen GPS, Datuk Seri Nancy Shukri menepis dakwaan bahawa beliau dan wakil rakyat PBB lain memberi sokongan kepada Langkah Dubai itu.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata tidak pernah mendengar soal Langkah Dubai tersebut.