30 DIS : Pemimpin UMNO menggesa DAP yang kini menjadi rakannya dalam Kerajaan Perpaduan mengelak daripada mengeluarkan komen berbaur sensitif yang boleh menjejaskan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata komen sedemikian akan menyinggung perasaan akar umbi dan menjejaskan usaha parti itu meyakinkan pengundi terhadap kerjasama PH dan BN.
“Komen sebegini menguatkan lagi tanggapan orang Melayu terhadap DAP sebagai parti Cina yang mahu menyingkirkan Islam dan orang Melayu,” katanya lapor FMT.
Terdahulu, portal itu melaporkan beberapa pemimpin akar umbi UMNO bimbang parti itu akan hilang sokongan pengundi Melayu jika terus ‘mesra’ dengan PH.
Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata tidak boleh menyalahkan penyokong UMNO yang dianggap tidak mahu menyokong PH kerana sesetengah pengundi Melayu terkejut dengan komen tidak sensitif pemimpin DAP.
“Ahli politik DAP perlu berwaspada,” kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara itu.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh turut membuat gesaan sama agar semua parti komponen PH mengelak mengulas isu yang dirasakan sensitif oleh orang Melayu seperti agama Islam, raja-raja dan hak mereka.
“Kami boleh berkawan dengan sesiapa saja, tetapi perlu menghormati prinsip kami dan kami sedia,” katanya kepada.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen DAP, Datuk Ngeh Koo Ham dikritik kerana mencadangkan agar pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Hari ini, beliau tampil membuat permohonan maaf atas cadangan itu.