30 DIS : Ahli Parlimen Beruas dari DAP, Datuk Ngeh Koo Ham hari ini menyatakan permohonan maaf atas cadangannya yang menimbulkan polemik.
Beliau bertegas tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam dengan membuat cadangan agar pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
“Saya menjangka proses ini akan membabitkan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. Cadangan saya adalah untuk memastikan bahawa semua pandangan diambil kira sebelum apa-apa cadangan pindaan dibuat.
“Sehingga ia dijelaskan baru-baru ini, saya tidak mengetahui bahawa jawatankuasa khas tersebut sebenarnya telah dibentuk oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Oleh itu saya dengan ini menarik balik cadangan saya dan memohon maaf dengan tulus hati,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Cadangannya itu mencetus kritikan keras daripada pemimpin lain termasuk daripada kalangan parti kerajaan sendiri.
Malah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titahnya semalam menegur orang bukan Islam agar tidak mencampuri hal ehwal agama Islam di negara ini.
Sebelumnya, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam satu kenyataan menyedari cadangan Koo Ham itu menimbulkan polemik dan ia kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa itu.