2 JAN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan rasa simpati terhadap rakyat Jepun terutamanya di Wilayah Ishikawa yang dilanda gempa bumi, semalam.
Menurut Anwar, kerajaan menerusi Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia di Jepun memantau rapat sebarang perkembangan terkini mengenai bencana itu.
“Saya dan Azizah turut bersimpati dengan tragedi gempa bumi berukuran sehingga 7.6 magnitud yang melanda wilayah Ishikawa di tengah Jepun pada Isnin.
“Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Jepun sedang memantau rapat sebarang perkembangan terkini mengenai bencana tersebut.
“Moga yang terkesan diberi ketabahan dan kesabaran dalam waktu sukar dan mencabar ini, termasuk rakyat kita di sana,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Kejadian gempa berukuran magnitud 7.6 itu mencetuskan amaran tsunami di sepanjang kawasan pantai barat Jepun dengan gelombang tsunami kecil sampai ke pantainya.
Terdahulu, Wisma Putra memaklumkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terjejas dalam bencana itu setakat ini
Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo di talian +81-3-3476-3840 atau +8180-3913-3840 (kecemasan) dan e-mel mwtokyo@kln.gov.my atau consular.tyo@kln.gov.my.