2 JAN : Pelaksanaan skim upah yang lebih adil dan munasabah kepada penjawat awam akan disegerakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu tertangguh tahun lalu susulan masalah kedudukan kewangan negara selain mewarisi hutang yang tinggi.
“Kita memutuskan untuk menyegerakan pelaksanaan skim upah yang lebih adil dan munasabah kepada penjawat awam dan saudara harus percaya, kita tidak menyegerakan pada tahun lalu kerana kita mewarisi kedudukan kewangan dan hutang negara ketika itu masih RM1.5 trilion dan defisit 5.6%.
“Alhamdulillah dengan kerjasama semua pimpinan, jemaah menteri, ketua setiausaha (KSU), agensi dan sektor swasta, kita dapat kurangkan kepada 5%,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan sebelum ini berkata skim gaji baharu untuk penjawat awam akan diumum sebelum akhir tahun ini.
Katanya, beberapa garis panduan akan disediakan pada suku pertama 2024 supaya skim gaji baharu itu dapat diumumkan.
Menurutnya, sebelum ini tiada kajian menyeluruh mengenai skim gaji penjawat awam dilakukan namun kerajaan ketika ini sedang melaksanakannya melalui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Mengulas lanjut, beliau melahirkan rasa bangga dengan prestasi dipamerkan penjawat awam sehingga kerajaan berupaya melaksanakan dasar untuk kebaikan rakyat termasuk pelaksanaan PADU.
“Melihat prestasi penjawat awam amat membanggakan, kalau ada pun kelemahan kecil yang sedang dipantau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tetapi umumnya sangat membanggakan.
“Maknanya kalau ada fokus yang jelas, dengan komitmen dan iltizam untuk melaksana dengan baik, saya percaya boleh dilakukan seperti mana peluncuran PADU,” katanya.
Pada ucapan sama, Anwar sekali lagi mengingatkan semua pihak termasuk dirinya bahawa mereka boleh dikenakan tindakan tegas jika terbabit dengan sebarang salah laku.
“Tekad kita saudara, percaya saya syukur kita mempunyai satu pendirian jelas dengan dasar, saya mula tata kelola dan melawan rasuah dengan kegigihan SPRM bertindak tanpa mengira siapa.
“Tindakan diambil terhadap tokoh (tidak) terlepas apa-apa bentuk penyiasatan dan tindakan. Kamu curi kekayaan negara…perdana menteri, menteri kewangan…kita terpaksa bertindak dengan tegas untuk selamatkan negara ini,” katanya.