2 JAN : Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka dapat mengelak berlaku ketirisan dalam pemberian bantuan dan subsidi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelancaran PADU ini sejajar dengan pendekatan transformasi digital negara dan penyasaran semula subsidi dapat dilaksanakan dengan lebih baik.
Katanya, dengan sistem maklumat bersepadu itu bantuan dan subsidi dijamin dapat dinikmati mereka yang benar-benar berhak.
“Subsidi yang diberikan kerajaan mencecah RM80 bilion. Dalam semua kajian, (subsidi) tidak sampai sepenuhnya kepada kumpulan sasaran.
“Sistem PADU adalah selaras dengan pendekatan transformasi digital dan menjamin manfaat kemudahan dinikmati orang berhak dan tentunya dengan cara itu (dapat) kurangkan kos dan ketirisan,” katanya pada Majlis Pelancaran Pangkalan Data Utama (PADU) di Putrajaya, hari ini.
Sehubungan itu, Anwar berkata penyasaran semula subsidi penting bagi memastikan subsidi yang mencecah RM80 bilion dinikmati golongan yang selayaknya.
Pelaksanaan penyasaran semula subsidi elektrik membolehkan penjimatan lebih RM4 bilion.
PADU dibangunkan dalam tempoh enam bulan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri.
‘PADU Go-Live’ bermula hari ini dan ia akan dibuka sehingga 31 Mac 2024 kepada pengguna bagi membolehkan pengemaskinian maklumat individu.
Pengemaskinian itu penting bagi membolehkan kerajaan mempunyai maklumat terkini dan memastikan tiada individu yang tercicir daripada menerima bantuan selayaknya.