3 JAN : Lebih 100,000 pendaftaran direkodkan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) berjaya dilakukan dalam tempoh kurang 24 jam sejak dilancarkan, semalam.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata meskipun laman web itu berdepan kesesakan trafik yang tinggi, kesemua pendaftaran yang berjaya itu melibatkan pendaftaran dalam talian.
“Setakat ini, kita sudah mencapai lebih 100,000 para pengguna yang berjaya mendaftar dalam sistem PADU, ini dilakukan majoritinya secara kendiri atas talian,” katanya dalam program AWANI Pagi, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata cabaran pihaknya dalam memastikan tiada rakyat Malaysia yang tercicir dalam tempoh tiga bulan pendaftaran dibuka.
“Antara cabaran yang kita lihat adalah bagaimana kita dapat pastikan pendaftaran dapat dilakukan semaksimum mungkin sehingga 100 peratus rakyat Malaysia,
“Dan untuk kita mencapai perkara ini adalah kita perlu berada di seluruh pelusuk negara terutama kawasan luar bandar dan jauh dari kemudahan dan fasiliti yang mempunyai ketersambungan internet,” katanya.
Justeru itu, pihaknya merancang pelaksanaan operasi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) negeri seluruh negara.
“Untuk makluman, seawal dilancarkan semalam, kita telah pun bersama-sama dengan Pusat Ekonomi Digital di 911 pejabat seluruh negara, 44 DOSM negeri dan daerah termasuk 27 Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh negara akan mengerakkan kemudahan Starlink bagi menjayakan pendaftaran ini,
“Ini kerana prinsip dan pendekatan paperless akan digunakan bagi memastikan maklumat terus masuk ke dalam sistem,” tambahnya lagi.
DOSM menyasarkan 29 juta warganegara Malaysia mendaftar di dalam sistem PADU yang dibuka bermula 2 Januari sehingga 31 Mac 2024.
Semalam, buat pertama kalinya PADU diluncurkan sebagai usaha mengintegrasikan dan menyelaraskan pelbagai pangkalan data di peringkat Kerajaan.
Kerjasama agensi berkaitan diperkukuh melalui DOSM bagi memastikan akses pendaftaran dapat dicapai di seluruh negara.