4 JAN : Syarikat yang membawa masuk pekerja asing namun gagal menempatkan mereka dalam sektor pekerjaan perlu dikenakan kompaun tinggi sehingga RM30,000 bagi setiap pekerja.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kegagalan itu menjejaskan semua industri dalam negara khususnya perladangan.
Katanya, dengan kompaun tinggi dikenakan, ia boleh menanggung kos penghantaran pulang pekerja asing ke negara asal bukannya dibiayai kerajaan seperti kebiasaannya.
“Saya nak cadangkan mana-mana syarikat yang bawa pekerja asing datang ke negara kita dan dalam sebulan masih tak ada kerja, syarikat itu sepatutnya dikompaun RM20,000 sehingga RM30,000 seorang.
“Kalau bawa 500 pekerja darab dengan 500, kalau 1,000 darab dengan 1,000. Barulah boleh guna wang ini. Kalau tak ada kerja kita hantar balik guna kos ini, kalau tidak kerajaan kena tanggung kos,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK)
Dakwanya, kegagalan menempatkan pekerja asing yang dibawa masuk ini menunjukkan seolah-olah ada yang cuba mengeksploitasinya sebagai perniagaan.
“Kalau dia bawa datang pekerja, (syarikat itu) tunggu siapa datang, baru nak supply (bekalkan), bermakna mereka dah buat benda ini satu perniagaan. Tak boleh, pekerja asing ini adalah untuk bekerja dalam sektor 3D (kotor, sukar, bahaya).
“Kita dapat banyak laporan mengatakan ramai pekerja asing datang ke negara kita, datang sini tapi tak ada kerja, baru-baru ini di Pengerang beratur panjang, mereka pergi ke balai polis buat laporan sebab tak ada kerja sedangkan banyak ladang kita memerlukan ramai pekerja asing,” katanya.
Johari berkata isu punca kuasa untuk menangani masalah pekerja asing sudah dibangkitkan pada mesyuarat jemaah menteri, semalam.
“Banyak isu yang bersangkut paut antara kementerian contohnya, Jabatan Imigresen menjalankan penguatkuasaan. Jadi kalau mereka tengok pekerja itu datang dengan cukup permit dan pasport, dia tak boleh buat apa.
“Kemudian Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengeluarkan kuota untuk bagi kepada industri yang minta pekerja dan apabila mereka datang, tak ada kerja dan apabila KSM ingin ‘transfer’ kuota itu kepada syarikat lain, tak boleh sebab mereka tak ada punca kuasa.
“Kalau tidak, orang datang ke negara kita harapkan pekerjaan tapi tak ada kerja. Ia memberi imej tidak baik kepada negara kita sedangkan industri memerlukan pekerja,” katanya.