5 JAN : Kepimpinan di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu diberi ruang dan kelonggaran bagi menerbitkan idea-idea baharu dalam bidang pendidikan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah ini penting bagi memastikan IPT negara mampu bersaing dengan lebih baik di peringkat serantau dan dunia.
Ia sekali gus melahirkan mahasiswa berdisiplin serta berkualiti tinggi.
“Saya cadang saudara Zambry (Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Kadir) beri ruang kepada pimpinan universiti.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) harus hanya menyelaraskan bagi mengelakkan apa-apa pertindihan, permasalahan tetapi beri lebih banyak ruang kepada universiti, melihat program yang lebih baik. Kalau tidak kita ubah pimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, hari ini.
Justeru itu katanya, KPT perlu memberi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun untuk universiti tempatan melakukannya.
Pada ucapan sama Anwar berkata, tenaga pengajar dalam bidang pendidikan tinggi perlu mengutamakan usaha mengangkat martabat dan kualiti generasi muda agar mampu bersaing dengan negara luar.
“Anda semua pemikir bangsa harus melihat keutamaan mengangkat martabat bangsa, negara dan keutamaan agama.
“Guna ruang untuk perbaiki kelemahan-kelemahan kita. Keutamaan adalah mendidik anak-anak kita supaya 5 hingga 10 tahun lagi mereka mampu bersaing dengan yakin dengan negara luar,” katanya.
Katanya, tindakan yang lebih tegas dan efektif perlu diambil bagi memastikan mutu universiti dalam negara berkembang maju seiring dengan perubahan masa.