5 JAN : Jordan sekali lagi menurunkan bekalan perubatan kecemasan ke hospital di Gaza dengan payung terjun, semalam
Tentera Jordan menurunkan bantuan itu ke Hospital Sahara Jordan di Gaza.
Tentera Jordan mempunyai dua hospital medan di Semenanjung Gaza – satu di bandar raya Gaza, ditubuhkan 14 tahun lalu manakala kemudahan kedua dibina pada bulan lalu di selatan wilayah itu, lapor Agensi Anadolu.
Pesawat Tentera Udara Jordan sebelum ini pernah menggugurkan bantuan perubatan ke hospital medannya di Gaza bagi memastikan kelangsungan operasi hospital selain terus menyampaikan perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada penduduk Gaza.
Jordan mula menggugurkan bantuan perubatan menggunakan payung terjun pada 6 November diikuti yang kedua enam hari kemudian, ketiga (30 November), keempat (7 Disember), kelima (15 Disember) dan keenam (21 Disember).
Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, setakat ini 22,313 penduduk Palestin terbunuh manakala 57,296 lagi cedera dalam serangan Israel.