5 JAN : Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menutup anak syarikat di bawahnya yang gagal menjana keuntungan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan itu diambil bagi memastikan kementerian tidak lagi menanggung ‘biawak hidup’.
Namun Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri enggan mendedahkan sekarang butiran syarikat yang diambil tindakan tersebut.
Butiran itu hanya akan didedahkan pada sidang Parlimen mendatang.
“Sudah ada (anak syarikat) yang ditutup, kami juga menawarkan ‘management buyout’ (pengambilalihan pengurusan) kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan.
“Kita serahkan kepada mereka dengan bayaran nominal bagi mereka meneruskan jika ia keluar dari badan induk (KKDW),” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya, hari ini.
Ahmad Zahid ketika menyampaikan amanat mengarahkan semua pengerusi agensi di bawah KKDW untuk memantau prestasi anak syarikatnya.
“Please turn around, sila tukar syarikat yang tidak mempunyai keuntungan dan elok cari jalan untuk sumbang keuntungan itu kepada agensi atau badan induk KKDW.
“Jika tidak, arahan saya tutup dan ini sangat penting supaya kita tidak tanggung biawak hidup dalam organisasi kita,” katanya.
Katanya, keputusan menukar dan menutup anak syarikat tidak menjana keuntungan itu adalah acuan baharu yang sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah katanya, Anwar juga mengguna pakai pendekatan sama di Menteri Kewangan Diperbadankan.