5 JAN : Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetap berjalan seperti dijadualkan meski terdapat negeri yang dilanda banjir.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata persiapan sudah dibuat Lembaga Peperiksaan (LP) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta kementerian bagi menghadapi segala kemungkinan.
“Setakat ini tiada masalah. Kita sudah ada pengalaman mengurus calon semasa banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran sumbangan Misi Banjir Pantai Timur pada Jumaat.
Katanya, kementerian akan mendapatkan bantuan agensi tertentu sekiranya diperlukan.
“Mungkin kalau susah sedikit pun jalan terputus hubungan dan kita akan dapatkan bantuan agensi lain untuk membawa calon ke pusat peperiksaan,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Johor menjamin akan memastikan calon SPM yang terjejas banjir dapat menduduki peperiksaan itu.
Seramai 395,870 calon akan menduduki peperiksaan SPM yang bermula Isnin ini sehingga 7 Mac depan di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.