6 JAN : Malaysia perlu menyelesaikan masalah ekonomi negara menggunakan pendekatan tersendiri tanpa bergantung pada pendekatan asing.
Demikian kenyataan Penasihat Khazanah Research Institute, Profesor Jomo Kwame Sundram pada majlis pelancaran buku bertajuk ‘Anwar Ibrahim: Tenacious in Dissent, Hopeful in Power’, hari ini.
“Kita banyak mengimport wacana dari Washington dan Davos kerana itu kaedah paling popular tetapi kita perlu keluar dari semua itu dengan mengkaji serta mengenalpasti masalah kita sendiri juga cara untuk keluar dari masalah itu,” katanya.
Mengulas soal percukaian, Jomo berkata Malaysia banyak menggunakan model bersifat regresif tinggalan penjajah yang mesra golongan kaya dan berat sebelah.
“Model lama percukaian yang tidak mengenakan cukai kekayaan dan pendapatan dibuat untuk kepentingan penjajah pada zaman dulu, tidak berubah sehingga hari ini menjadikan model percukaian kita bersifat regresif.
“Sedangkan sepatutnya ia perlu bersifat progresif, diagihkan daripada golongan kaya kepada miskin.
“Dua bajet kerajaan perpaduan sebelum ini semuanya bersifat regresif, bukan progresif…usaha untuk mengenalpasti sama ada seseorang itu B40 atau tidak itu membuang masa. Seharusnya bantuan dan dasar kerajaan bersifat lebih universal,” katanya.
Selain itu katanya, kerajaan juga perlu menggubal dasar menyeluruh tanpa bersifat terpilih dan mempunyai kesan yang dapat dirasai lebih ramai rakyat.
“Fokus dasar yang mempunyai kesan maksimum dan bersifat lebih menyeluruh berbanding bersasar.
“Kamu membelanjakan sedikit perbelanjaan di satu segi tetapi membelanjakannya dengan banyak untuk kumpulan sasaran tetapi kesan yang sangat kecil,” katanya.