6 JAN : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah baginda tidak akan menerima apa-apa permohonan mengadap bermula hari ini sehingga 31 Januari 2024.
Baginda bertitah mahu meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sebelum mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Namun baginda bertitah akan memenuhi majlis yang sudah ditetapkan serta sesi mingguan bersama Menteri Besar Johor serta kerajaan negeri.
“Bermula sekarang sehingga saya mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong, saya tidak akan menerima apa-apa permohonan untuk mengadap.
“Dalam tempoh berkenaan, saya ingin meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sebelum menjalankan amanah dan tanggungjawab yang cukup besar,” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO).
Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Oktober lalu yang akan berkuat kuasa 31 Januari ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-263 (Khas) di Istana Negara, hari ini.